ADVANCED WOUND CARE CENTER & SUPPLIES

Rahsia Di Sebalik Parut: Bagaimana Badan ‘Bina’ Lapisan Perlindungan Baru

Parut sering dianggap sebagai kesan kekal pada kulit, sekadar tanda fizikal yang tinggal selepas luka sembuh. Namun, di sebalik setiap parut terdapat proses biologi yang luar biasa dan kompleks. Satu usaha tubuh yang begitu pantas dan efisien dalam membina semula perlindungan yang telah terjejas. Apabila kulit cedera, terutamanya pada lapisan dermis yang lebih dalam, tubuh akan segera melancarkan satu siri tindak balas penyembuhan.

Fasa pertama bermula dengan keradangan, iaitu apabila platelet dan sel imun berkumpul untuk menghentikan pendarahan serta melawan kuman. Seterusnya, fasa pertumbuhan semula berlaku di mana kolagen dihasilkan secara aktif oleh sel fibroblas untuk menutup kawasan luka. Kolagen ini berfungsi seperti ‘bahan binaan’ yang mengisi ruang terbuka manakala salur darah baru mula tumbuh bagi menyokong pertumbuhan tisu baharu.

Sumber: Healin Malaysia

Namun, struktur kolagen dalam parut berbeza dengan kulit asal. Ia disusun lebih padat dan tidak fleksibel, menjadikan parut kelihatan lebih keras, timbul atau berubah warna. Hal ini demikian kerana, proses pembentukan parut lebih melindungi tubuh daripada jangkitan dan kehilangan darah berbanding menghasilkan kulit yang cantik. Dalam konteks ini, parut sebenarnya ialah ‘perisai’ baharu yang dibina bagi menggantikan benteng lama yang telah rosak. Tidak semua parut kelihatan sama. Ada yang hampir tidak kelihatan, dan ada pula yang menjadi tebal dan besar seperti keloid atau parut hipertrofik.

Selain itu, parut juga memberi kesan emosi, terutama jika berada di wajah atau bahagian tubuh yang terdedah. Ramai yang mengalami perubahan keyakinan diri akibat parut yang ketara. Namun hakikatnya, setiap parut adalah bukti bahawa tubuh pernah terluka dan berjaya sembuh. Penjagaan luka sejak awal merupakan kunci untuk mengurangkan risiko parut kekal. Luka harus dibersihkan, dikeringkan dan ditutup dengan pembalut bersih. Elakkan menyentuh atau menggaru luka dan pastikan kawasan luka dilindungi daripada cahaya matahari. Penggunaan pelembap atau gel silikon boleh membantu mempercepatkan penyembuhan dan mengurangkan kesan parut.

Parut bukan sekadar bekas luka yang tidak diingini. Ia adalah lambang kekuatan tubuh dalam melindungi diri daripada ancaman luaran. Parut menunjukkan bahawa badan telah menjalankan tugasnya seperti menutup luka, menghentikan pendarahan, melawan jangkitan dan membina semula benteng pertahanan. Maka, setiap parut membawa cerita bukan hanya tentang luka tetapi juga tentang penyembuhan.

Scroll to Top