Dalam era digital masa kini, penggunaan skrin menjadi sebahagian rutin harian. Sama ada bekerja, belajar, membaca atau berkomunikasi semuanya melibatkan paparan skrin. Namun begitu, pendedahan berpanjangan terhadap skrin boleh menyebabkan ketegangan mata digital atau digital eye strain. Secara fisiologi, mata manusia dicipta untuk melihat objek pada jarak jauh secara semula jadi. Apabila mata dipaksa fokus dekat dalam tempoh lama, otot-otot mata menjadi letih. Tambahan pula, kadar kelipan mata turut menurun apabila menatap skrin. Normalnya, mata berkelip sekitar 15 hingga 20 kali seminit tetapi ketika menatap skrin, kadar boleh turun hingga hanya 5 kali seminit. Akibatnya, permukaan mata menjadi kering, pedih dan cepat penat.

Lebih membimbangkan, pencahayaan skrin yang terang, kontras tinggi dan pancaran cahaya biru (blue light) boleh mengganggu ritma jam biologi badan. Ini boleh menjejaskan kualiti tidur dan memberi kesan kepada kesihatan mental dalam jangka masa panjang. Namun begitu, langkah pencegahan boleh dilakukan. Salah satu teknik paling mudah dan berkesan ialah kaedah 20-20-20. Pakar oftalmologi menyarankan satu teknik ‘reset’ pantas untuk mata. Caranya mudah: setiap 20 minit, alih pandangan selama 20 saat ke arah objek sejauh 20 kaki (lebih kurang 6 meter). Langkah ini memberi peluang kepada otot mata untuk berehat dan kembali kepada posisi rehat semula jadi.
Selain itu, pencahayaan persekitaran perlu cukup dan tidak terlalu silau. Pastikan juga skrin berada pada paras mata serta ambil rehat seketika daripada skrin sekurang-kurangnya 5 hingga 10 minit setiap jam. Bagi individu yang memakai cermin mata, penggunaan lensa penapis cahaya biru juga boleh membantu mengurangkan silau dan ketegangan retina. Dalam konteks kesihatan awam, keletihan mata bukan hanya isu fizikal. Ia berkait rapat dengan kualiti hidup, produktiviti dan kesejahteraan mental. Ramai individu melaporkan sakit kepala, sukar fokus dan cepat marah selepas tempoh penggunaan skrin yang lama. Maka, penjagaan mata bukan sekadar untuk penglihatan yang jelas tetapi untuk kesihatan menyeluruh.
Kesimpulannya, mata juga berhak berehat. Dalam dunia yang tidak pernah berhenti, berhenti sejenak untuk melihat jauh bukanlah kelemahan sebaliknya satu keperluan. Dengan hanya 2 minit setiap setengah jam, fungsi mata dapat dipelihara dan keletihan dapat dikurangkan. Teknologi boleh dimanfaatkan sebaiknya tetapi tubuh termasuk mata tetap perlu dijaga.