Setiap pagi, aroma kopi menjadi peneman setia jutaan individu di seluruh dunia. Bagi sesetengah orang, secawan kopi bukan sekadar minuman. Ia lebih daripada itu. Hakikatnya, secawan kopi menjadi rutin harian, sumber semangat, bahkan momen refleksi diri sebelum hari bermula. Namun begitu, timbul persoalan: adakah amalan minum kopi setiap hari baik untuk jantung, atau sebaliknya?
Dari perspektif sains kesihatan, kopi mengandungi kafein iaitu sejenis bahan semula jadi yang bertindak sebagai perangsang sistem saraf pusat. Kafein merangsang pengeluaran adrenalin dan meningkatkan kadar denyutan jantung buat sementara waktu. Oleh sebab itu, pengambilan kopi yang berlebihan dikaitkan dengan gejala seperti berdebar, keresahan dan tekanan darah meningkat. Khususnya dalam kalangan individu yang sensitif terhadap kafein.

Namun, dalam jumlah sederhana, kopi juga menunjukkan kesan yang positif. Beberapa kajian epidemiologi berskala besar menunjukkan bahawa pengambilan kopi 2–3 cawan sehari mungkin dikaitkan dengan penurunan risiko penyakit jantung koronari dan strok. Ini kerana kopi mengandungi antioksidan semula jadi seperti asid klorogenik yang membantu mengurangkan keradangan dan memperbaiki fungsi salur darah.
Lebih menarik, dapatan kajian juga menyokong manfaat kopi. Sebagai contoh, satu kajian dalam European Journal of Preventive Cardiology (2022) memberikan gambaran yang positif. Kajian tersebut mendapati bahawa pengambilan kopi tanpa kafein mempunyai kesan perlindungan terhadap jantung. Lebih tepat, ia dikaitkan dengan penurunan kadar kematian akibat penyakit jantung dan masalah kardiovaskular. Ini memberi gambaran bahawa manfaat kopi tidak semata-mata bergantung pada kafein tetapi gabungan sebatian bioaktif lain yang terdapat di dalamnya.
Walau bagaimanapun, kopi tidak sesuai untuk semua orang. Sebagai contoh, individu yang mempunyai masalah aritmia (denyutan jantung tidak normal) perlu lebih berhati-hati. Begitu juga bagi mereka yang mengalami tekanan darah tinggi yang sukar dikawal. Seterusnya, kopi boleh mengganggu pola tidur, terutamanya jika diminum pada waktu malam. Oleh itu, pemantauan pengambilan kopi sangat penting. Lebih-lebih lagi bagi individu yang mempunyai isu kesihatan tertentu.
Selain itu, cara penyediaan juga memainkan peranan. Contohnya, kopi tidak ditapis (seperti kopi French press) mengandungi sebatian dipthen dan cafestol yang boleh meningkatkan paras kolesterol LDL. Dari sudut kesihatan awam, pemahaman yang seimbang adalah penting. Kopi membawa manfaat jika diambil secara bersederhana dan mengambil kira faktor kesihatan individu. Pendidikan kesihatan perlu beri penjelasan yang seimbang. Jangan terus melarang tanpa sebab yang jelas dan terlalu menggalakkan sesuatu tanpa melihat kesan sampingan. Maklumat perlu berdasarkan bukti daripada itu masyarakat boleh buat pilihan yang bijak untuk kesihatan diri.
Akhirnya, kopi bukan sekadar minuman. Ia juga medium sosial, ritual peribadi dan sebahagian daripada gaya hidup moden. Maka, fahami tubuh sendiri. Dengar isyarat jantung dan tindak balas badan. Jika kopi memberi tenaga dan ketenangan, teruskan secara berpada. Namun jika ia mendatangkan mudarat, ada baiknya beralih kepada alternatif yang lebih sesuai. Kesihatan jantung bermula dengan kesedaran. Dan secawan kopi jika diminum dengan ilmu boleh menjadi sebahagian daripada rutin sihat yang menyenangkan.